Bengkak sebesar guli
SAYA berumur 46 tahun, sejak akhir-akhir ini sudah dua kali mengalami bengkak buah zakar di sebelah kiri
bahagian atas sebesar buah guli.
Saya cuba picit tetapi amat sakit dan ngilu selepas tiga hari bengkak itu sembuh sendiri. Untuk makluman doktor saiz sebelah kiri lebih besar
daripada sebelah kanan. Saya takut masalah ini berulang lagi.
INSAN RUNGSING
Muar, Johor
Buah zakar jarang membesar kecuali jika terdapat ketumbuhan atau radang akibat kecederaan atau infeksi; terdapat kebengkakan kepada sebahagian
strukturnya seperti ketumbuhan cista (ketumbuhan mengandungi cecair) atau ketumbesaran buah zakar akibat air pasang.
Jika anda biasa dengan amalan memeriksa buah zakar secara sendiri, sudah tentu anda dapat mengesan perubahan luar biasa dengan cepat dan boleh
rujuk kepada doktor.
Jika terdapat kebengkakan kepada buah zakar anda doktor akan lakukan pemeriksaan saringan untuk mengesan sama ada ketumbuhan itu barah atau
sebaliknya.
Barah buah zakar jarang berlaku walaupun semua lelaki berumur 15-40 tahun berisiko mengalaminya. Kemungkinan ia berlaku ialah kurang 1 dalam 100
ribu untuk lelaki Asia kecuali jika lelaki itu mempunyai buah zakar yang tersangkut dalam perut (masalah yang dikenali sebagai Kryptorkidisme)
atau saudara terdekat pernah menghidap kanser buah zakar.
Jadi pemeriksaan kendiri buah zakar atau ‘testicular self examination’ ialah satu-satunya pendekatan yang dapat mengesan perubahan yang berlaku
kepada buah zakar lebih awal.
Mustahak untuk semua lelaki tahu dan mengenali cara melakukan pemeriksaan kendiri buah zakar. Pemeriksaan ini boleh dilakukan pada bila bila
masa, lebih selesa dalam keadaan berseorangan dalam bilik mandi dan dilakukan sebulan sekali.
Secara ringkas buah zakar diampu dengan tapak tangan dan dengan tangan yang lagi satu pemeriksaan dilakukan dengan menggunakan ibu jari dan
beberapa jari lain. Selepas itu buah zakar diraba dengan menggunakan jari kedua-dua tangan untuk diteliti, mengesan jika ada ketulan di permukaan
buah zakar.
Jika ada sesuatu, cepat jumpa doktor. Apabila anda rujuk kepada doktor, pemeriksaan buah zakar dengan mengukur saiz dengan alat pengukur bergelar
Orkidometer dilakukan dengan meneliti kebengkakan atau ketumbuhan.
Jika perlu doktor akan uruskan ujian imbasan dengan alat ultrasound atau lakukan ujian darah untuk pemeriksaan saringan petunjuk kanser, menyukat
BHCG dan AFP.
Jika salah satu ujian itu positif, ini petanda barah dan pemeriksaan susulan imbasan canggih akan dilakukan untuk mengesan sekiranya kanser
merebak ke tempat lain.
|