Rahsia Zakar

 

Ada satu saja buah zakar


 

SOALAN

SAYA berumur 19 tahun dan ada kecacatan pada alat kelamin iaitu mempunyai satu testis saja. Saya ingin tahu, adakah jumlah sperma saya stabil berbanding sperma lelaki yang ada dua testis? Adakah ini memberi kesan apabila saya berkahwin?


HAMBA ALLAH
Johor


JAWAPAN


Lelaki mempunyai sepasang buah zakar dan kedudukannya ialah dalam kerandut buah zakar.

Ketika bayi masih dalam perut ibu, kedudukan buah zakarnya ialah dalam perut dan ketika bayi lelaki itu masuk umur lima bulan, buah zakar mula turun ke dalam kerandut.

Kadangkala penurunannya tergendala, yang mana hanya satu buah zakar yang turun dan lagi satu tersangkut dalam perut.

Jarang kedua-dua buah zakar tak turun. Ada kalanya buah zakar turun tapi tidak masuk ke dalam kerandut, keluar kerandut seperti di kelengkang, tundun atau paha.

Untuk anda yang mempunyai satu buah zakar, kemungkinan yang lagi satu tidak turun atau tersangkut.

Memandangkan keadaan ini terbiar, kemungkinan buah zakar itu tidak berfungsi dan anda kini hanya ada satu buah zakar.

Satu buah zakar yang sihat dan berukuran normal mencukupi menghasilkan sperma dan hormon testosteron, hormon kelelakian.

Anda tidak perlu risau. Dari semasa ke semasa, anda boleh menjalani ujian darah untuk mengesan AFP (Alfa-feto Protein) jika ada peningkatan untuk mengesan kanser buah zakar kerana kemungkinan ia berlaku kepada buah zakar yang tersangkut ialah lima hingga 10 kali ganda (kemungkinan mendapat kanser testis untuk lelaki Asia ialah 1:100,000 kes setahun).