Ragu-ragu menyuruh suami buat ujian air mani
SAYA dan suami merancang mendapatkan anak kedua. Namun selepas tujuh bulan mencuba, tiada tanda positif
hamil.
Saya ingin mencadangkan suami melakukan ujian air mani, tetapi dia ragu-ragu. Bagaimanakah prosedur ujian air mani dilakukan dan di manakah
tempat sesuai untuk menjalani ujian itu?
IZANIE
Kota Tinggi, Johor
Mana-mana pasangan yang pernah mendapat cahaya mata dan merancang tambah bilangan anak dan mendapatkan kehamilan tetapi dalam setahun tiada
apa-apa berita perlu menjalani pemeriksaan kesuburan.
Bagi suami, pemeriksaan fizikal dan buah zakar serta ujian air mani dilakukan manakala bagi si isteri, pemeriksaan kepastian kemampuan
menghasilkan telur dan ujian X-ray salur reproduksi iaitu rahim dan salur telur untuk menentukan sama ada wujud masalah atau sebaliknya.
Jika semua ujian normal, mungkin mereka berdua boleh mencuba kaedah Teknologi Bantuan Konsepsi seperti penyemaian benih suami dalam rahim atau
IUI. Jika masih tiada apa-apa hasil, cuba kaedah bayi tabung uji atau IVF.
Tiada jaminan kehamilan akan berlaku kerana itu kuasa Tuhan. Yang mustahak ialah kedua-dua pasangan itu berusaha dan bukan sekadar mendiamkan
diri atau tidak mahu buat apa-apa kerana ego.
Ujian air mani perlu dilakukan di makmal dan atas rujukan doktor. Jadi, suami perlu jumpa doktor terlebih dulu dan mendapatkan borang melakukan
ujian air mani di makmal yang disyorkan doktor. Puan juga perlu menjalani pemeriksaan seperti saya senaraikan di atas.
Puan dan suami perlu tahu, umur memainkan fungsi penting daripada aspek kemungkinan pencapaian kehamilan. Jika umur tinggi, pencapaian kehamilan
amat rendah, lebih-lebih lagi wanita.
Kadar kehamilan untuk wanita menurun sebanyak 80% selepas umur 40 tahun. Lelaki berumur lebih 40 tahun pula banyak menghasilkan sperma yang
kurang aktif dan berbentuk tidak normal.
|