SOALAN
SAYA berusia 26 tahun. Baru-baru ini saya perasan lubang dekat kepala zakar saya tidak sama dengan orang lain. Saya ada dua lubang.
Lubang atas yang hujung kepala tak berfungsi. Saya dikatakan menghidap glandular hypospadias.
Apa yang menjadikan kemusykilan saya, sama ada ia akan mempengaruhi aktiviti seks saya apabila berkahwin nanti?
Setahu saya ia memerlukan pembedahan pembetulan dan lazimnya ia dilakukan ketika kanak-kanak. Harap doktor dapat membantu.
INSAN KELIRU
Johor Bahru, Johor
JAWAPAN
Mustahak untuk kita mengenali anggota kelamin kita supaya kita dapat menjaganya dengan baik dan merujuk kepada doktor sekiranya kita dapati ada
perubahan fizikal atau fungsi anggota kelamin kita.
Jadi lelaki disyorkan melakukan pemeriksaan kendiri anggota kelamin dengan meneliti zakar, kerandut buah zakar dan merasa kedua-dua buah zakar
untuk mengenali sekiranya ada sesuatu yang luar biasa. Jika wujud sesuatu yang luar biasa, rujuk kepada doktor.
Banyak lelaki tidak peka dengan keadaan anggota kelamin mereka dan hanya sedar apabila masalah serius berlaku.
Anda perasan anggota kelamin anda mempunyai dua pembukaan lubang kencing yang mana lubang yang didapati di penghujung tidak berfungsi dan lubang
yang didapati dibawah penghujung zakar berfungsi.
Memang masalah anggota kelamin yang anda alami itu dikenali sebagai hipospadias dan pembukaan lubang yang berfungsi itu terbuka di pangkal kepala
zakar maka istilah teknikal perubatan digunakan ialah ‘glandular hypospadias’.
Memandangkan yang pembukaan lubang kencing masih di penghujung zakar, air mani jika terpancut keluar pun akan keluar tanpa sekatan atau gangguan.
Tidak seperti jenis hipospadias yang mana pembukaan lubang kencing di pangkal zakar.
Jika itu berlaku sudah tentu air kencing akan terpercik ke kerandut dan air mani jika keluar mungkin tidak masuk faraj.
Bagaimanapun, elok anda jumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan. Ada kalanya penghujung zakar kembang dengan luas dan menyukarkan penghujung
zakar masuk dalam faraj melalui pembukaan faraj. Jika ini berlaku bahagian yang kembang itu perlu diperbetulkan melalui pembedahan plastik.
Jika perkara itu tidak berlaku, anda tidak perlu khuatir, namun untuk kepastian sila berjumpa doktor.
|