Berlaku kesilapan ketika berkhatan
SOALAN
SAYA ada masalah zakar yang tidak mempunyai kepala selepas berlaku kesilapan ketika berkhatan. Zakar saya terhad untuk memanjang disebabkan
pegawai perubatan di sebuah klinik memotong hanya sebahagian kulit zakar dan terus menjahitnya.
Ketika kecil saya mengalami masalah kulit zakar melekat pada kepala zakar. Apa patut saya lakukan?
WAN TOI
Marang, Terengganu
JAWAPAN
Anggota kelamin lelaki atau ‘penis’ atau zakar mempunyai bahagian penghujung lembut dan ditutupi kulit yang bergelar kulup. Kulit penutup ini
dibedah buang dalam prosedur berkhatan atau pembedahan ‘circumcision’.
Dalam keadaan biasa yang mana kulup itu mudah dilucut atau ditarik untuk mendedahkan kepala zakar, mudah untuk kulit kulup itu dibuang.
Apabila kulit kulup itu melekat kepada kepala zakar dan payah dilurutkan, sukar membuang kulup itu dengan betul.
Jika sebahagian kulit kulup saja dibuang, kulit yang melekat kepada bahagian penghujung zakar menyekat kepala zakar daripada terdedah dan
penghujung zakar kelihatan macam tiada ‘kepala’.
Jika ereksi berlaku, kepala zakar tertarik ke dalam dan membuatkannya menguncup, sedangkan ia sepatutnya terdedah dan mengembang.
Jarang berlaku parutan antara kulit zakar kepada penghujung zakar dan ini juga menghalang penghujung zakar daripada terdedah atau mengembang.
Sudah tentu kedua-dua keadaan ini mengakibatkan zakar kelihatan cacat atau hodoh. Kedua-dua masalah ini boleh diatasi melalui pembedahan
pemulihan.
Anda mungkin mengalami masalah yang saya jelaskan tadi. Bagaimanapun, mustahak untuk anda berjumpa doktor bagi menjalani pemeriksaan dan jika
didapati boleh dipulihkan, anda boleh teruskan rawatan tanpa was-was.
|